|

KHEK HUA (kiri) dan Timbalan Presiden MAD, Ramona Yuen membuat cabutan sempena Kejohanan Dodgeball Komuniti 2010 di Putrajaya semalam.
SEBANYAK 32 kelab akan berentap pada Kejohanan Dodgeball Komuniti 2010 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPIN), CIMB dan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPIN, Ho Khek Hua, kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memupuk semangat perpaduan melalui sukan.
"Sebenarnya banyak sukan yang boleh dipertandingkan, tetapi pada tahun ini, kami memilih sukan dodgeball. Pada masa yang sama, kami juga mahu memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat umum.
"Kejohanan ini adalah untuk menggalakkan anak-anak muda berinteraksi sesama mereka selain mencungkil bakat mereka dalam sukan dodgeball agar boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh," katanya semalam.
Kejohanan Dodgeball Komuniti 2010 melibatkan empat zon iaitu tengah, selatan, timur dan utara.
Seramai 224 peserta akan mengambil bahagian di setiap zon yang dipecahkan kepada lapan kelab Rukun Tetangga (RT).
Setiap kelab pula terdiri daripada 28 ahli iaitu lapan pemain lelaki, lapan pemain perempuan, 10 orang fanfare (kumpulan penyokong), seorang juru ulas dan seorang blogger.
Kejohanan itu akan membuka tirainya di Kompleks Belia Rakan Muda Puchong, Selangor esok dengan penampilan dari Zon Tengah yang melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Seterusnya, Zon Selatan yang melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Kompleks Sukan Air Keroh, Melaka pada 17 April.
Zon Timur yang melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang akan diadakan di Batu Burok, Kuala Terengganu pada 24 April dan Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) di Ipoh pada 1 Mei.
Juara dan naib juara bagi setiap zon akan mara ke peringkat akhir yang akan diadakan di MITC, Ayer Keroh, Melaka pada 22 Mei depan.
Sumber : Kosmo Online - http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm |